Antara Gapi

Antara Gapi...is ideally nestled within the serenity of nature and filled with lush tropical beauty..homes that offer you and your family the opportunity to live in total harmony, amidst an inspiring scenic ambience

Sunday, January 2, 2011

Persatuan Penduduk Antara Gapi (PERANTARA)

‘Antara Gapi’ adalah merupakan nama rasmi bagi projek pembangunan perumahan terletak di antara Mukim Ulu Yam dan Mukim Serendah yang dimajukan oleh PKNS. Asal kawasan pembangunan adalah sebuah ladang kelapa sawit yang dipanggil Estet Gapi dan terdapat sebuah sungai berhampiran yang dipanggil Sungai Gapi.
Alamat
Alamat dan tempat urusan pertubuhan ialah: NO 6 JALAN GAPI 1B/12, SEKSYEN 1 ANTARA GAPI, 48200 SERENDAH, SELANGOR.
Logo



Lambang Persatuan adalah terdiri daripada : logo projek perumahan PKNS – Antara Gapi, perisai dan moto Persatuan.
Logo Antara Gapi merupakan imej berbentuk ‘A’ yang mengambarkan Siput Merawan dan juga nama spesis pokok tropika yang ditanam di persekitaran perumahan Antara Gapi, ia melambangkan suasana panorama kehijauan, bersih dan sihat. Ia juga melambangkan inspirasi kecintaan dan pengekalan persekitaran alam semula jadi.
Perisai yang mengelilingi lambang Persatuan menggambarkan keazaman pihak Persatuan untuk menjadikan kawasan penempatan Antara Gapi sebagai sebuah tempat yang selamat dan harmoni.
Moto ‘suara untuk esok’ memberi maksud akan kesungguhan pihak kepimpinan persatuan untuk menjadikan Persatuan Penduduk Antara Gapi sebagai pertubuhan rujukan, perantara kepada pihak berkuasa tempatan, pemaju dan pihak luar. Moto tersebut juga merupakan nilai dan kualiti yang perlu ditunjukkan oleh pegawai-pegawai Persatuan sebagai jurubicara masyarakat.
Keterangan warna :                                                                                                                                          Hijau – keazaman pihak Persatuan dan para penduduk untuk menjadikan perumahan Antara Gapi menjadi sebuah penempatan taman.
Coklat – pemupukan komuniti penduduk yang produktif, sensitif dan agen penyumbang positif kepada pembangunan Negara.
Oren – dinamiksme masyarakat yang berbilang kaum mementingkan semangat kejiranan, keharmonian dan kasih sayang.
Putih – pada latarbelakang perisai memberi maksud akan aspirasi Persatuan yang berusaha menjadikan nilai-nilai mulia, bersih dan toleransi sebagai asas pengamalan, pendekatan dan pengoperasian. Ia juga mengunjurkan kepada pembaikan yang berterusan dan seimbang.
Tujuan/Matlamat
(1) Menyatupadu dan memupuk semangat muhibbah di kalangan para penduduk di Antara Gapi.
(2) Menjalankan aktiviti-aktiviti kebajikan, pendidikan, sukan, rekreasi dan lain-lain aktiviti yang bermanfaat untuk para penduduk
(3) Menjadi penghubung kepada pihak pemaju perumahan, pihak berkuasa tempatan dan pihak-pihak yang berkaitan demi keselamatan dan kemajuan masyarakat
Keahlian
(1) Terbuka kepada Warganegara Malaysia berumur 18 tahun keatas yang tinggal di Antara Gapi, Serendah, Selangor.
(2) Tiap-tiap permohonan menjadi ahli hendaklah dicadangkan dan disokong oleh dua orang ahli dan dihantar kepada Setiausaha yang dikehendaki mengemukakan permohonan itu dengan secepat mungkin kepada Jawatankuasa untuk diluluskan. Jawatankuasa boleh mengikut budibicaranya menolak sebarang pemohonan tanpa memberi sebab-sebabnya.
(3) Tiap-tiap pemohon yang permohonannya telah diluluskan seperti yang tersebut di atas, hendaklah setelah membayar bayaran masuk dan yuran tahunan pertama seperti yang ditetapkan diterima menjadi ahli Persatuan dan berhaklah ia sebagai ahli.
(4) Seorang pelajar Universiti atau Kolej-Universiti tidak boleh diterima menjadi ahli Persatuan ini kecuali ia telah dibenarkan terlebih dahulu secara bertulis oleh Naib Canselor Universiti yang berkenaan.
Yuran
Bayaran masuk RM 3.00 (Ringgit Malaysia : Tiga Sahaja)
Yuran tahunan RM 2.00 (Ringgit Malaysia : Dua Sahaja)

PERANTARA 1Pengenalan


Sebuah komuniti penduduk memerlukan platform suara dan kepemimpinan yang perihatin terhadap aspek sosial, pembangunan dan halatuju kemasyarakatan. Menyedari hakikat ini para penduduk Antara Gapi telah menubuhkan PERANTARA atau Persatuan Penduduk Antara Gapi. PERANTARA mula diasaskan pada Jun 2003. PERANTARA telah didaftarkan di bawah Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (NO.PPP SEL000529/04(4) NO.PPM SEL002457/04 dan Majlis Daerah Hulu Selangor (MHDS). Buat masa ini PERANTARA adalah persatuan yang diberi mandat mewakili kawasan perumahan di Fasa 1B, 1C, 1D, 1E dan 2C di Antara Gapi .




PERANTARA adalah ‘suara esok anda’. PERANTARA adalah milik kita semua.